19 April 2009

Selamat Hari Ibu

Ya Allah..moga kami dapat menjadi ibubapa yang mithali..

“Ummi, kenapa Ummi penat?” tanya Naurah.

“Ummi bawa adik dalam perut,” jawab Ummu Saif.

“Boleh Naurah pegang?” soal Naurah.

“Yop pun nak pegang,” sampuk abangnya Saiful Islam.

“Imad… pegang!” si kecil Imad itu pun menyibuk sama.

Saya hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Kasihan melihat isteri saya yang sering keletihan. Terkenang zaman-zaman di perantauan dulu, Ummu Saif pengsan entah berapa kali di hospital semasa mengandungkan anak pertama kami.

Syukur Alhamdulillah, selepas Saiful Islam berusia 7 tahun, Naurah Sabihah masuk 5 tahun dan Imaduddin mencecah 3 tahun, kami dimurahkan rezeki oleh Allah untuk menyambut cahaya mata keempat yang bakal tiba Julai nanti, Insya Allah.

“Kenapa adik diam sahaja?” Saiful Islam bertanya.

“Dia tidur barangkali. Cuba rasa ini. Teka ini apa?” Ummu Saif mengajukan tangan anak-anak kami ke kiri kandungannya.

“Err, tak tahu,” kata Naurah.

“Kepala?” soal Saiful Islam.

“Bukan. Ini tangan adik. Kakinya di bawah sini!” Ummu Saif cuba mengilustrasikan kedudukan adik baru mereka di dalam perut itu.

“Hahaha!” semua orang ketawa. Terbayang-bayangkan si adik yang sedang baring terlentang di dalam perut Ummi mereka yang semakin sarat itu.

HIBA

Ada titik air mata hiba bergenang di mata saya. Berbau sesal.

Jika semasa Ummu Saif mengandungkan anak pertama dahulu, hampir setiap hari saya akan memegang, bergurau senda dan bercakap-cakap dengan anak kami. Namun dek perjalanan masa, kesibukan kerja masing-masing, keramahan itu ada kalanya terhilang dari mainan kami sekeluarga.

Saya merapatkan diri ke sisi isteri.

Anak-anak pun duduk sama di tepi.

“Assalamualaikum!” saya memberi salam.

“Ha, ha! Dia bergerak!” kata Ummu Saif.

Anak-anak kami pun jadi seronok dibuatnya.

“Susah tak bawa adik dalam perut? Cuba tanya Ummi?” saya bertanya kepada anak-anak.

“Ummi, susah tak bawa adik dalam perut?” tanya Saiful Islam kepada Ummi.

“Tentulah susah. Berat tahu! Boleh tambah 20kg!” kata Ummu Saif kepada anak kami.

Tentu sahaja susah. Tidak ada suatu tugas berat yang dipikul oleh seorang manusia seberat proses mengandung dan melahirkan anak. Hilang selera makan, muntah-muntah, demam, urat berpintal-pintal di kaki (varicose vein), tubuh bengkak air (water retention), sakit pinggang dan serba serbi jadi tidak kena.

Itulah realitinya sebuah kehamilan.

“Kenapa Abi tak mengandung? Abi kan kuat?” tanya Saiful Islam.

“Haha, budak ni! Abi mengandung juga, tapi tak ada baby!” saya bergurau.

Anak-anak kebingungan.

Benar sekali…


FIZIKAL, RASIONAL, EMOSIONAL

Jika difikirkan beban mengandung, bukankah lebih wajar Allah Subhanahu wa Ta’aala jadikan para suami yang mengandung. Mereka ada kekuatan fizikal. Mahu mengangkat tong gas di atas bahu kanan dan kiri pun tidak punya masalah. Sepatutnya kekuatan fizikal itu digunakan untuk memikul tugas yang berat ini… hamil dan seterusnya melahirkan anak.

Tetapi saya terkenang kepada kata-kata Imam al-Ghazzali, bahawa “lelaki diciptakan Allah 9 rasional 1 emosi dan perempuan diciptakan Allah 1 rasional 9 emosi”.

Ya, kekuatan wanita itu adalah pada emosinya. Tinggi EQ!

Emosi itulah kelayakan untuk seorang manusia hamil.

Emosi untuk sabar dengan berat dan payahnya 9 bulan mengandung. Emosi untuk membelai, memberi makan kepada kandungan seperti memberi makan kepada diri sendiri. Emosi yang kerana emosi itulah, alam bayi di dalam kandungan digelar ALAM RAHIM, iaitu ‘alam kasih sayang’.

Kasih sayang yang sulit untuk ditemui dalam jiwa lelaki, biar pun fizikalnya sasa dan mentalnya berkuasa.

Aduhai anak-anak, sesungguhnya engkau tidak lahir ke dunia ini, melainkan engkau pernah dipeluk kasih dan sayang seorang ‘ibu yang rahim’ di ALAM RAHIM.

TIBA-TIBA

“Abang, rasanya nak bersalin dah ni!” jerit Ummu Saif.

“Apa???” saya panik dan sesak nafas terkejut dengan jeritan itu. Tercungap-cungap tidak cukup nafas.

“Haa!!!”, aduhai…. rupa-rupanya saya bermimpi. Sudah nak masuk anak keempat, masih ada mimpi-mimpi sebegini lagi?

Peluh di dahi saya kesat.

Segera menoleh ke sisi, terlihat isteri yang tidurnya tidak lena melayan resah badan dengan sarat kandungan.

“Tidurlah sayang. Biar abang bancuhkan susu Imad itu,” saya bingkas bangun meraba gelap untuk melayan tangisan Imad yang terkejut oleh kejutan saya tadi.

Semoga Allah limpahkan seluas-luas cinta dan kasih-Nya buat bondaku dan bonda isteriku yang telah mengandung dan membesarkan kami dengan kasih sayang, semoga cinta dan kasih-Nya juga disiramkan ke hati dan jiwa isteriku, yang bermujahadah dalam cinta dan kasih kami, untuk mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak penyejuk mata.


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keletihan demi kekeletihan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [Luqman 31: 14]

Selamat Hari Ibu

@ www.saifulislam.com

12 April 2009

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


* Teringat pula masa program EMINENT 09 anjuran DPMT...saya adalah panel tunggal mahasiswi dalam membicarakan tajuk "MADU TIGA" (Pengajian, rumahtangga dan perjuangan)...syukran mujahidku yang sentiasa memberi semangat kepada diri ini untuk perjuangan Islam..! Alhamdulillah, syukrillah..



Ya Rabbi...

Alhamdulillah, setelah habis tempoh pentaklifan dalam PMRAM 2008, sedikit sebanyak telah banyak mengajar diri ini untuk berdikari. Maklumlah dulu ada sahabat-sahabat sekeliling, sama-sama bekerja demi untuk memastikan ahli PMRAM terus menerus berada dalam landasan-Nya.

Tengok entri-entri blogger sahabat dalam PMRAM sendiri kadang-kadang mengalir air mata. Sesungguhnya banyak yang kami dapat timba sepanjang berjuang dalam PMRAM. Pahit manis bersama, kalau nak dikira tangisan, banyak telah ditumpahkan. Moga-moga Allah istiqamahkan diri ini dan sahabat-sahabat semua. Insya Allah

Hari ini sudah dua hari demam dan selsema. Malam tadi, selepas usrah bersama Bait Muslim Tanta, terus kami ke Klinik Dr.Dhuha, yang terletak berhampiran dengan Hospital Abu Raayah. Alhamdulillah, setelah diperiksa, tak sangka dah 13 minggu anak mama berada di kantungnya. Cuma demam, selsema kadang kala menyukarkan pergerakanku. Nasib baik mujahidku sentiasa membakar semangat. Syukran!

Ya Allah, sembuhkanlah diri ini supaya dapatku beribadat kepada-Mu, memberi khidmat yang terbaik kepada mujahidku dan study dengan lebih baik.

Ya Rabbi, kurniakanlah kami anak-anak yang soleh dan solehah. Moga-moga mereka dapat menjadi setangkas Solahuddin Al-Ayubi dan sehebat Khaulah Al-Azwar demi perjuangan yang suci ini.

Ya Rabbi, jadikanlah kami hamba yang sentiasa istiqamah dalam saf perjuangan Islam ini...

Ya Allah, pimpinlah diri kami, janganlah biarkan kami keseorangan, Engkaulah tempat kami mengadu...

* Salam imtihan buat semua sahabat terutama adik beradik HEWI.

17 March 2009

Khasiat buah kurma untuk bakal ibu

Selalunya, buah kurma ini hanya dimakan sewaktu bulan puasa sahaja. Tapi bagi ibu yang sedang hamil... buah kurma sememangnya amat bagus untuk dijadikan makanan harian.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."

Buah kurma semenangnya baik untuk diamalkan pemakanannya semasa mengandung kerana ia akan memudahkan proses bersalin nanti. Selepas bayi dilahirkan, buah kurma juga bagus untuk dicalitkan sedikit di lelangit bayi. Ingat tak kisah dimana Maryam hanya memakan buah kurma semasa melahirkan nabi Isa a.s.

Buah kurma tidak mengandungi gula yang merbahayakan malah ia merupakan makanan Rasullullah s.a.w. Jadi anda tidak perlu risau atau takut diserang kencing manis, apa yang harus dibuat, hanyalah menjauhkan makanan manis2 yang lain.

Buah kurma tidak merbahayakan kesihatan kerana ianya mengandungi banyak khasiat.

Antara kelebihan-kelebihan dan khasiat buah kurma ialah:-

1. Kaya dengan zat besi - sangat sesuai dimakan, terutama bagi wanita sedang haid dan orang yang mengalami masalah anemia (kekurangan sel darah merah).

2. Boleh dimakan pada bila-bila masa kerana ia tidak mengandungi kolesterol.

3. Kaya khasiat: Protein (1.8 hingga dua peratus), serat (dua hingga empat peratus), glukosa (50 hingga 57 peratus), Vitamin A dan C, sodium dan potassium.

4. Kandungan gulanya mudah diserap badan dan memberi tenaga segera apabila berbuka puasa. Berbuka dengan kurma membuatkan kita berasa cepat kenyang dan secara tidak langsung mengelakkan kita makan secara berlebihan.

5. Kandungan potasium penting untuk sistem saraf yang merangsang daya ingatan, membangkit nafsu kelamin (aprodisiak) dan meningkatkan sistem pertahanan badan khususnya untuk mencegah barah buah dada dan rahim.

6. Kurma diberikan kepada bayi boleh mengurangkan kesakitan dan kadar degupan jantung.

7. Kurma juga boleh membantu memudahkan proses bersalin dan mengecutkan rahim kerana ada bahan boleh membantu proses berkenaan, sebagaimana dilakukan Maryam as yang memakan buah kurma selepas melahirkan Nabi Isa as.


16 March 2009

Shicida Methods - Jadikan Anak Anda Pandai


BANYAK cara untuk mendidik personaliti anak-anak. Ada menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan semata-mata mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak.Salah satu teknik yang mula di pratikkan di Malaysia ialah SHICIDA METHODS , iaitu kaedah mendidik anak-anak berfikir menggunakan otak kanan yang diajar oleh orang Jepun.Ini kerana otak sebelah kanan lebih efektif berbanding otak kiri tetapi ia perlu dipraktikkan dengan lebih kerap untuk mengaktifkan penggunaannya. Kelas SHICIDA METHODS ada ditawarkan di sesetengah tempat disini,namun kosnya agak mahal berbanding kelas-kelas lain,malah tidak ramai ibu bapa khususnya orang Melayu mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas sebegini.Disini disertakan serba sedikit kaedah SHICIDA METHODS untuk dipraktikkan oleh ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.Kaedah ini boleh Nampak kesannya dalam masa seminggu ia di pratikkan,namun bergantung kepada kebolehan dan keupayaan otak anak-anak anda menerimanya :

1) Sewaktu anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam,cakap padanya dengan sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia,dia budak baik,dia anak soleh,dia budak kuat,dia budak pandai dan sebagainya sebab sewaktu tidur-tidur ayam itulah otak kanannya sedang bekerja manakala otak kiri sudah tidur.Tapi kena buat dengan seikhlas hati sebab kalau dalam keadaan marah,ia tidak menjadi.Kalau mereka sudah tidur,cuba ramas-ramas jari atau tangan dia atau picit-picitkan badannya supaya dia kembali dalam keadaan tidur-tidur ayam.Cuba pratikkan pada anak anda khususnya bagi mereka yang liat bangun pagi.Insya-Allah menjadi.

2) Mula guna kad untuk ajar anak anda.Ada peserta yang ajar ABC-Z guna kad dalam masa seminggu sahaja,lepas tu mereka sudah kenal semua huruf dan boleh eja perkataan yang pendek-pendek. Buat atau beli kad banyak-banyak dan tunjuk pada mereka cepat-cepat seperti a…..b….c….d . Insya-Allah mereka cepat tangkap sebab bila kita tunjuk laju-laju otak kanan dia akan bekerja keras untuk tangkap apa benda yang ditunjuk.Boleh juga buat atau beli kad 1,2,3 atau gambar-gambar tertentu .

3) Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan,jadi cuba ajar anak anda main tanah liat,main cat air ( water colour ) ,melukis,gunting kertas,origami dan sebagainya.Memang agak leceh dan kena kemas semula,tapi untuk kebaikan anak-anak apa salahnya berkorban sikit.Satu lagi cuba lukis gambar,contohnya rama-rama,tapi hanya sebelah badannya sahaja dan suruh anak-anak sambung lukis ikut apa yang anda lukis dibahagian satu lagi.Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.Tahukah anda kenapa orang Cina dan Jepun kebanyakkannya pandai-pandai ? Ini kerana mereka makan menggunakan kayu penyepit.Kayu penyepit mengaktifkan kerja tangan sekaligus membantu menggerakkan otak kanan.

4) Jangan marah-marah atau tengking anak sebab mereka boleh simpan semuanya dalam otak kiri.Kalau tanpa sengaja marah atau menengking mereka,kembali semula ke cara pertama dan minta maaf pada mereka dengan ikhlas.

5) Cuba bina daya imaginasi mereka dengan cara bercerita dan kemudian suruh mereka menyambung semula cerita tersebut.Walaupun cerita itu merapu pun tidak mengapa asalkan mereka punya inisiatif untuk berimaginasi .

6) Main teka-teki dengan mereka. Letakkan satu barang dalam kotak dan kemudian suruh mereka teka apakah barang tersebut.Untuk permulaan,berikan mereka pilihan untuk menggambarkan jenis barang dalam kotak terbabit seperti memberitahu warna,bunyi dan sebagainya.Lama- kelamaan mereka boleh bangunkan deria keenam ( Sixth Sense ) dengan menumpukan perhatian kepada benda yang berada dalam kotak terbabit.Ini semua adalah untuk mengaktifkan otak sebelah kanan.Tapi ingat semua permainan yang hendak dilakukan itu hanya boleh dilakukan selama setengah jam sehari.Tidak perlu lama-lama kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan.

Sebelum lakukan semua kaedah ini,pastikan anda mempunyai masa yang benar-benar cukup.Pendekatan ini memerlukan keikhlasan dan kesunggguhan. Dalam Islam sendiri pun menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak-anak ketika mereka mahu tidur kerana pada ketika itulah di antara waktu-waktu doa dimakbulkan. Seorang Kaunselor juga memberitahu, jangan suka menyebut JANGAN pada anak-anak kerana apa yang kita sebut itulah yang mereka ikut .Cuba ganti perkataan JANGAN dengan perkataan lain untuk menyampaikan maksud anda,misalnya – “ Tolong senyap Along ” berbanding “ Along Jangan bising ” .


* Sabar menunggu kelahiran anak soleh

Salam bahagia


Alhamdulillah, kami telah diijabkabulkan tepat jam 1.00 petang, 14 Disember lalu. Syukur hanya pada-Mu. Terima kasih mujahidku yang telah menerima diri ini seadanya. Semoga kita hidup bahagia hingga ke syurga nanti..

07 August 2008

Satu perjalanan


Hari demi hari perjalanan kulalui. Ada orang kata, bila seorang pemimpin berjalan terjumpa anak buahnya, layanilah seperti bayi, tapi bila seorang 'aku' berjalan keseorangan merentas onak, duri, gunung ganang dan lautan seluas mata memandang, terjumpa diri, bagaimana pula untuk melayannya?


Aku tersenyum sendirian. Benar seperti dikata. Perjalanan hidup amat-amat memerlukan satu pengorbanan yang sukar ditafsir. Kadang-kadang tidak tahu mana aulawiyatnya. Walhal teorinya sudah dipelajari. Praktikalnya macam mana ye?


Pernah menangis sendirian? Hati kering tapi hanya Allah yang tahu. Adikku, masalah yang mendatang, hadapilah dengan sebaik mungkin. Mengadulah pada-Nya. Kita dan dia adalah milik-Nya. Cuba pegang tangannya, bersemuka, tanyalah dari hati ke hati. Jangan bagi orang ketiga memecah belahkan keluarga kita.


Akak tahu dik. Hatimu remuk, resah. Apatah lagi sudah tiada air mata. Tak siapa tahu hatimu bagaimana kan. Jangan biarkan hatimu dipenuhi dengan bisikan syaitan laknatullah. Adikku, dia adalah lambang syurgamu. Mengadulah pada penciptanya. Insya Allah, akak percaya adik boleh hadapinya.


Buat mujahidku, bersabarlah. Insya Allah, semoga di sana ada jalan penyelesaian. Semoga kita dapat hadapinya dengan penuh keimanan. Insya Allah.