18 January 2010

Kaedah Congak-Cari Muka Surat Setiap Juzuk Dalam Al-Quran

Assalamualaikum semua...

Saya masih teringat ketika belajar di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin dulu, pernah pihak sekolah menghantar dua orang wakil untuk menyertai Kursus Intensif Tarannum. Alhamdulilah saya juga tersenarai walaupun taklah pandai sangat tarannum ni. Cuma minat sangat.

Ada seorang ustaz tenaga pengajar ketika kursus tersebut yang mengajar bagaimana nak cari muka surat setiap juzuk dalam Al-Quran secara congak. Tapi dengan syarat. Kami pun bertanya apa syaratnya? "Kalau kamu tak ajar orang lain, kamu tak akan ingat kaedah ini sampai bila-bila" jawab ustaz (saya lupa nama beliau).

Oleh itu, saya pun nak ajar lah sahabat-sahabat di luar...Alhamdulillah walaupun hampir 15 tahun, saya masih ingat kaedah tersebut. Mudah-mudahan menyenangkan kita untuk lebih mengakrabi dengan Al-Quran itu sendiri. Ok.

Contohnya nak cari juzuk 6:

step pertama- 6-1=5

step kedua- 5 x 2=10

step ketiga - tambah no 2 dibelakangnya,

jadilah muka surat 102

*********************************

Contoh lain nak cari juzuk 21

Step pertama- 21-1=20

Step kedua- 20 x 2=40

Step ketiga- tambah no 2 dibelakangnya

Jadilah juzuk 21 muka surat 402


Ok..Mudah kan. Tapi untuk Al-Quran Rasam Uthmani je..




10 January 2010

Jangan Khianati Saudara Kita di Gaza!

Oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pada hari Rabu yang lepas, tercatat satu peristiwa yang amat besar maknanya bagi umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza. Sebanyak 240 buah aambulans dan kenderaan membawa ubat-ubatan, makanan, permainan kanak-kanak dan peralatan sekolah berjaya memasuki Gaza melalui Rafah di sempadan Mesir. Bantuan ini adalah daripada konvoi Viva Palestina 3 (yang bermaksud hidup Palestin) yang digerakkan oleh seorang ahli parlimen British, George Galloway. Rombongan ini bertolak dari London pada 5 Disember 2009 dan setelah merentas Benua Eropah selama 31 hari, mereka sampai ke Gaza pada 6 Januari 2010.



Bantuan ini disumbangkan oleh warga dari 17 negara termasuk Malaysia. Sebanyak 9 buah ambulans adalah sumbangan daripada rakyat Malaysia.

Meskipun rombongan ini selamat sampai untuk menyerahkan barang-barang bantuan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang sudah terkepung dan terkurung selama 3 tahun, namun misi ini hanya berjaya dilaksanakan setelah menerima pelbagai ujian yang amat berat. Lebih malang lagi, kesukaran yang mereka lalui bukan kerana mereka dihalang oleh Israel tetapi halangan itu datangnya daripada negara Islam sendiri. Mesir sebagai jiran terdekat kepada Gaza diharapkan akan memberi sokongan dan memudahkan laluan konvoi sebaliknya mengenakan pelbagai syarat dan menyukarkan usaha untuk menyalurkan bantuan, bahkan tindakan zalim dan tidak berperi kemanusiaan Mesir hampir-hampir menggagalkan harapan untuk menyalurkan bantuan sejumlah USD2 juta sumbangan warga dunia yang prihatin tanpa mengira bangsa, agama dan negara.

Mesir bertindak menghalang konvoi untuk mendarat di pelabuhan Nuweiba di Semenanjung Sinai. Akibatnya konvoi yang sudah berada di Aqaba, Jordan dan menanti pengangkutan laut untuk menyusuri laut Merah dan mendarat di pelabuhan Nuweiba terpaksa berpatah balik melalui Syria. Dari Pelabuhan Latakia, konvoi terpaksa menggunakan 3 buah feri untuk ke pelabuhan al-Arish melalui laut Mediterranean. Pelabuahan al-Arish adalah pelabuhan kecil yang tidak sesuai untuk laluan sejumlah kenderaan sebanyak itu. Di samping itu, pengiring dan sukarelawan terpaksa menaiki kapal terbang dan menyertai kenderaan mereka di pelabuhan al-Arish. Akibat halangan daripada kerajaan Mesir ini, konvoi terpaksa menanggung kos tambahan melebihi USD500,000.

Sebaik sahaja tiba di al-Arish, pihak berkuasa Mesir hanya membenarkan sebahagian kecil sahaja pengiring memasuki Gaza. Bantahan daripada sukarelawan telah menyebabkan pasport mereka dirampas dan hanya dikembalikan setelah didesak. Kemudian Mesir mengenakan satu lagi syarat iaitu lebih daripada 50 kenderaan mesti diserahkan melalui Israel. Keadaan ini telah menimbulkan bantahan daripada pengiring konvoi. Kemudian kita diberitahu pihak berkuasa Mesir telah bertindak ganas ke atas sukarelawan dengan membaling batu kepada mereka, memukul, mencederakan dan menangkap beberapa orang anggota konvoi termasuk seorang pelajar perubatan dari Malaysia yang sedang menuntut di United Kingdom.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada peristiwa yang bukan melukakan umat Islam sahaja tetapi seluruh warga dunia yang masih ada rasa ihsan di hati mereka. Di satu pihak kita menyaksikan bagaimana warga Britain dan rakyat Britain, Amerika Syarikat dan Eropah menaja beberapa buah ambulans dan bekalan ubat-ubatan atas rasa prihatin terhadap penduduk Gaza. Bahkan salah seorang daripada sukarelawan yang menyertai protes di Kaherah adalah seorang Yahudi yang berumur 82 tahun dan merupakan mangsa kepada tragedi pembunuhan beramai-ramai (holoucaust) bangsa Yahudi oleh Hitler semasa Perang Dunia Kedua. Beliau telah menyertai mogok lapar kerana membantah tindakan kerajaan Mesir menyekat bantuan kepada penduduk Gaza. Kita juga menyaksikan beratus-ratus warga Perancis telah dibelasah dengan teruk oleh polis Mesir kerana meyokong penduduk Gaza di Kaherah.

Kemudian di satu pihak yang lain dalam kalangan kerajaan sebuah negara islam, kita menyaksikan satu kekejaman dan penganiayaan yang tidak ada tolok bandingnya. Kita melihat bagaimana sebuah kerajaan yang diterajui oleh umat Islam tergamak bertindak seperti yang dilakukan oleh Mesir, dan bagaimana mereka cuba menghalang dunia daripada membantu penduduk Gaza, walhal tanggungjawab ini sepatutnya dilaksanakan oleh Mesir sendiri sebagai jiran tetangga terdekat. Bukan sahaja mereka bersekongkol dengan Israel bahkan turut sama mengepung dan menutup sempadan Gaza. Sudahlah mereka mengenakan pelbagai sekatan kepada penduduk Gaza, mereka turut menghalang orang lain daripada menghulurkan bantuan.

Semua kejadian yang berlaku menuntut kita menilai peristiwa ini dengan neraca iman. Kadang-kala umat islam terbawa-bawa dengan pemikiran sekular lalu membuat kesimpulan yang jauh daripada kebenaran, ditambah pula dengan kecenderungan assabiyah (kebangsaan sempit) lalu merendah-rendahkan bangsa Arab. Mereka melemparkan tuduhan bahawa orang Arab memang tidak boleh dibawa berunding, bahkan ada yang tergamak mengatakan tidak ada gunanya membantu rakyat Palestin kerana mereka sentiasa tidak sehaluan dan sentiasa bertelagah.

Ini tiada kena mengena dengan bangsa Arab atau apa bangsa sekalipun. Apa yang kita saksikan adalah manifestasi daripada satu pertembungan antara haq dan batil. Gambarannya telah pun diberitahu oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Abu Hurairah menyampaikan daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

“Sebahagian daripada umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu al-Quds (Palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikit pun. Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya kiamat.”

(Riwayat At-Tabarani)

Nahik Ibn Surim as-Sakuni menyampaikan daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

“Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di sebelah barat (Palestin yang terjajah).”

(Daripada Ibn Hajar al-Asqalani)

Muadz bin Jabal menyampaikan daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

“Allah Maha Besar akan memberi kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku.Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu daripada pantai-pantai as-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis, mereka itu berada dalam jihad sehingga hari pengadilan.”

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengatakan berhubung penghuni tanah suci (al-Quds),

“Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah dalam ribat (pengawal kubu) di jalan Allah.”

(At-Tabarani)

Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, “Ada dalam kalangan umatku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat.” Para sahabat bertanya, “Di mana mereka itu”? Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”.

(Iman Ahmad)

Hadis-hadis yang terbit daripada lidah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telah pun disusun oleh Allah subhanahu wa taala. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat daripada peristiwa ini untuk menyuburkan iman dan keyakinan kita untuk berjuang di jalan Allah?

Hari ini kita melihat pemimpin-pemimpin negara Islam telah mengkhianati perjuangan Islam dan umat Islam seperti apa yang dilakukan oleh Mesir. Namun kita yakin dengan Allah subhanahu wa taala, bahawa pengkhianatan dan pembelotan pemimpin- pemimpin yang memaksakan kepimpinan mereka ke atas umat Islam tidak akan mampu mengkhianati perjuangan rakyat Palestin, bahkan perjuangan umat Islam di mana jua. Umat Islam di Palestin tidak pernah goyah dalam mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa selama lebih 64 tahun mengikut taqwim hijri. Kalau perjuangan ini digarap oleh orang yang tidak beriman, maka sudah lama masjid al-Aqsa sudah diruntuhkan dan diganti dengan haikal Sulaiman, tempat penyembahan orang Yahudi. Tetapi ini tidak berlaku dan ia sama sekali tidak akan berlaku kerana Allah telah menjamin keselamatan tanah sucinya dengan meletakkan jundullah, tentera-tentera daripada kalangan para mukmin yang ikhlas berjihad pada jalan Allah.

Mesir tidak akan berhenti untuk meneruskan perjuangan sia-sianya. Kini Mesir sedang menanam kepingan keluli sedalam 20 hingga 30 meter untuk menutup terowong- terowong yang memasuki Gaza dari Rafah. Terowong-terowong in adalah satu-satunya saluran untuk penduduk Gaza mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan dalam keadaan terkepung dari semua arah.

Prof Dr Yusuf Qardawi, Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam telah membidas Mesir dan mengingatkan mereka supaya menghentikan jenayah keji ke atas saudara- saudara mereka sendiri. Tindakan Mesir, menurut Prof Al-Qardawi sama dengan mengatakan ‘Palestin boleh mati dan Israel boleh terus hidup!’ Beliau menggesa rakyat Mesir supaya bangkit menolak tindakan keji pemerintah Mesir dan mendesak Liga Arab serta OIC supaya menekan Mesir untuk menghentikan perbuatan terkutuk itu. Namun seperti yang dijangka tidak ada pemimpin negara Islam yang menyahut seruan persaudaraan Islam ini. Cuma Turki setakat ini yang menunjukkan contoh yang wajar diikuti. Sewaktu Mesir menahan konvoi dan menangkap sukarelawan, 10 orang pemimpin Turki telah berunding dengan kerajaan Mesir supaya memberi laluan kepada konvoi dan melepaskan sukarelawan yang ditahan. Turki juga membiayai kapal terbang yang disewa khas untuk menerbangkan para sukarelawan akibat daripada perubahan laluan konvoi.

Marilah kita sama-sama merenung dengan mata hati akan pesan-pesan Allah dalam al- Quran:

“Orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah antara saudara-saudaramu dan tunaikanlah tanggungjawabmu kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

(Al-Hujurat: 10)

Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam berkata,

"Seorang Muslim bersaudara dengan Muslim yang lain, dia tidak berbuat salah kepadanya, mengecewakannya atau mengabaikannya."

Prof Al-Qardawi juga mengingatkan kita akan pesan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:

"Bantulah saudaramu, sama ada jika dia menindas (dengan mencegah dia daripada melakukannya) atau jika dia ditindas." Nabi tidak berkata, "Kepung dia, biarkan dia kelaparan, atau tindas dia bagi pihak musuhmu."

Menjadi kewajipan dan tanggungjawab Mesir untuk membuka laluan Rafah bagi manfaat warga Gaza kerana itulah satu-satunya jalan keluar bagi mereka. Kewajipan ini bukan sahaja tuntutan syariat Islam tetapi juga kehendak undang-undang. Tidak ada undang-undang yang mengarahkan cengkaman dikenakan ke atas umat Gaza atau menyuruh supaya menjadi tali barut dalam membunuh mereka.

Akhirnya kita mengingatkan diri kita semua bahawa Gaza adalah tempat kelahiran ramai ulama tersohor yang lahir dalam kalangan umat ini. Imam as-Syafii, yang menjadi ikutan umat Islam di Malaysia adalah kelahiran Gaza. Begitu juga ulama besar Imam Ibn Hajar al-Askalani adalah kelahiran Askalan yang kini dijajah oleh Israel di utara Gaza dan dinamakan Ashkalon. Apakah kita rela tanah kelahiran ulama-ulama besar ini diperlakukan sedemikian rupa?

Editor
PACE
(Pusat Kecemerlangan Palestin)

04 January 2010

Hepy Besday...



Buat diriku...

Moga panjang umur, murah rezeki,
dan diberkati dunia dan akhirat..

Amin