27 April 2009

Draf Cadangan Penyelesaian Isu Agama Anak


Ianya bagi suatu pandangan yang padat dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

DRAF CADANGAN PENYELESAIAN
ISU MOHD RIDZUAN ABDULLAH
DAN KELUARGA


1. PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

a- Status agama tiga orang anak beliau [ iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun). ]
b- Hak penjagaan anak.
c- Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 - Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.
Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.
Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].
Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

rعَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:
Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 - Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 - Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]

Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut).

Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 - Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.

4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 - Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya).

Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 - Hak Pemberian Nafkah[11]

a - Nafkah kepada anak
Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.

b - Nafkah kepada isteri
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Disediakan oleh :Fellow MANHAL PMRAM 2009
Hasil kajian:
1. Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jofree
2. Al Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
3. Al Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
4. Al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain

[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

23 April 2009

Aqidah Umat Islam: Keputusan Kabinet?

Masya Allah! Inikah jalan penyelesaian yang terbaik demi memartabatkan Islam tercinta?

Kabinet memutuskan bahawa mana-mana pasangan yang salah-satunya menukar agama, maka anak-anak mereka hendaklah kekal dengan agama asalnya. Ini bermakna jika sepasang suami isteri yang bukan Islam, jika contohnya suminya memeluk Islam, maka anak-anak mereka hendaklah kekal beragama asal iaitu tidak Islam.

Apakah kesan keputusan kabinet ini?

Walaupun laporan yang diterima tidak menyebut, tetapi saya yakin keputusan itu memaksudkan anak-anak tadi bebas memilih agama pilihannya apabila mencapai umur dewasa. Soalnya apakah anak-anak yang nanti dewasa itu beanar-benar bebas atau setelah sekian lama dibesarkan sebagai bukan Islam akhirnya akan terpengaruh untuk terus kekal tidak Islam.

Adakah adil keputusan ini? Saya tidak pasti. Tentunya ia sesuatu yang sensitif dan perlu dihadapi dalam masyarakat majmuk seperti kita.Tetapi kelihatan keputusan ini seakan tidak memuaskan dan bakal mencetuskan 1,001 kontroversi lagi.

Apakah tidak boleh difikirkan suatu mekanisma yang lebih meyakinkan?

Kes ini sebenarnya diputuskan setelah mengambil kira kes Indra Ghandi, 35 seorang wanita Hindu yang mengadu suaminya, K. Pathmanathan, sekarang dikenali Mohd Ridzuan Abdullah telah memeuluk Islam dan menukar agama anak-anak mereka dari hindu ke Islam tanpa relanya. Mereka dilaporkan mempunyai tiga orang anak dengan anak yang kecil berada di bawah pemeliharaan Ridzuan.

Saya harap lebih ramai bijak pandai dan alim-ulamak dilibatkan untuk memberikan pandangan dalam hal ini. Apa pun biar ia nampak benar-benar adil dan tidak sampai Islam dilihat tergadai dan digadai.

---

21 April 2009

Pohon Para Syuhada Di Bint Jbeil

-Walaupun berita ini sudah lama...tapi moga kita dapat ambil pengajarannya

Pohon Para Syuhada Di Bint Jbeil, Nama Baru Untuk Bint Jbeil:
'Ibukota Yang Dipenuhi Keajaiban Allah'

(Bint Jbeil- Ratusan para pelawat terus menyerbu Bint Jbeil, sebuah bandar di Selatan Lebanon yang digelar sebagai sebuah ibukota kepada Perjuangan Islam, datang daripada seluruh pelusuk Lebanon dan dunia untuk menyaksikan sendiri 'Pohon Para Syuhada', sebatang pohon yang dipotong pada tahun 2005 dan dipamerkan di dalam dewan utama bandar itu sebagai mengingati para pejuang yang telah syahid dalam peperangan dengan Israel).
Pada hari Rabu, 1 Ogos 2007, pohon tersebut mengejutkan penduduk-penduduk bandar tersebut apabila de daunan hijau semulajadi tumbuh daripada dahan-dahannya. Dahan-dahan itu juga dikelilingi oleh titisan-titisan yang harum baunya yang keluar daripada sebuah garisan keretakan yang secara tiba-tiba wujud pada pohon tersebut.

Pohon tersebut dipenuhi dengan kepingan-kepingan kayu kecil yang terukir nama-nama para syuhada di atasnya dan ia dicat dengan warna coklat gelap, sebagai simbolik kepada warna tanah di kawasan itu yang telah menyerap darah-darah para syuhada. Selepas perang dengan Israel pada Julai 2006 yang lepas, sejumlah 43 lagi kepingan kayu tersebut ditambah pada pohon itu yang terukir di atasnya nama-nama para syuhada yang syahid dalam peperangan yang terbaru itu.
Para penduduk bandar tersebut merasa sangat kagum apabila mendapati jumlah dedaunan yang tumbuh daripada dahan-dahan tersebut jumlahnya adalah 43 helai. Minggu ini, Bint Jbeil mengenang semula jasa-jasa para syuhada tersebut yang mengorbankan jiwa mereka setahun yang lalu dalam peperangan dengan Israel . Waktu di mana kejadian ini berlaku adalah dianggap sebagai keajaiban daripada Allah sebagai sanjungan kepada para syuhada tersebut.

'Pada malam Sabtu yang lalu, kami menganjurkan sebuah majlis sambutan untuk meraikan kemenangan dalam perang setahun yang lalu,' kata seorang penduduk.'Kami tempat duduknya di dalam dewan itu, beliau menanyakan tentang pohon itu dan melihatnya dengan penuh hormat setelah Haji Selim Bazzi (seorang yang terhormat di bandar itu) menerangkan kepadanya mengenai idea monumen berkenaan dan bagaimana ia dibuat. Tiada sebarang daun pun yang kelihatan pada waktu itu. Segalanya adalah seperti biasa'.

Para imigran Lebanon telah menempah tiket-tiket penerbangan daripada Amerika, Kanada dan Australia , sementara yang lain daripada kawasan-kawasan yang berlainan di Afrika dan rantau Teluk, telah mula memenuhi bandar ini untuk melihat sendiri monumen itu.

'Bint Jbeil telah digelar sebagai Ibukota Perjuangan dan Pembebasan, ibu kepada para syuhada dan sebuah kota para pelaksana revolusi,' komen daripada penduduk yang lain, 'Kini ia mempunyai nama yang baru : Ibukota Yang Dipenuhi Keajaiban Allah. Semoga Allah melimpahkan rahmatnya ke atas bandar yang suci ini dan para syuhadanya serta para pejuangnya dan semoga Allah merahmati sesiapa sahaja yang mempunyai sebuah hati yang murni dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya.Allaahu Akbar!Selawat!!!


Keajaiban Pokok Ini Adalah Satu Anugerah Allah Untuk Seluruh Manusia
Sebagai Petunjuk Kepada Ketinggian Darjat Dan Maqam Para Syuhada Di Bint
Jbeil Yang Sanggup Menyabung Nyawa Mereka Untuk Menghadapi Kezaliman Israel
di Lebanon...Allaahu Akbar!!!





19 April 2009

Selamat Hari Ibu

Ya Allah..moga kami dapat menjadi ibubapa yang mithali..

“Ummi, kenapa Ummi penat?” tanya Naurah.

“Ummi bawa adik dalam perut,” jawab Ummu Saif.

“Boleh Naurah pegang?” soal Naurah.

“Yop pun nak pegang,” sampuk abangnya Saiful Islam.

“Imad… pegang!” si kecil Imad itu pun menyibuk sama.

Saya hanya tersenyum memerhatikan gelagat mereka. Kasihan melihat isteri saya yang sering keletihan. Terkenang zaman-zaman di perantauan dulu, Ummu Saif pengsan entah berapa kali di hospital semasa mengandungkan anak pertama kami.

Syukur Alhamdulillah, selepas Saiful Islam berusia 7 tahun, Naurah Sabihah masuk 5 tahun dan Imaduddin mencecah 3 tahun, kami dimurahkan rezeki oleh Allah untuk menyambut cahaya mata keempat yang bakal tiba Julai nanti, Insya Allah.

“Kenapa adik diam sahaja?” Saiful Islam bertanya.

“Dia tidur barangkali. Cuba rasa ini. Teka ini apa?” Ummu Saif mengajukan tangan anak-anak kami ke kiri kandungannya.

“Err, tak tahu,” kata Naurah.

“Kepala?” soal Saiful Islam.

“Bukan. Ini tangan adik. Kakinya di bawah sini!” Ummu Saif cuba mengilustrasikan kedudukan adik baru mereka di dalam perut itu.

“Hahaha!” semua orang ketawa. Terbayang-bayangkan si adik yang sedang baring terlentang di dalam perut Ummi mereka yang semakin sarat itu.

HIBA

Ada titik air mata hiba bergenang di mata saya. Berbau sesal.

Jika semasa Ummu Saif mengandungkan anak pertama dahulu, hampir setiap hari saya akan memegang, bergurau senda dan bercakap-cakap dengan anak kami. Namun dek perjalanan masa, kesibukan kerja masing-masing, keramahan itu ada kalanya terhilang dari mainan kami sekeluarga.

Saya merapatkan diri ke sisi isteri.

Anak-anak pun duduk sama di tepi.

“Assalamualaikum!” saya memberi salam.

“Ha, ha! Dia bergerak!” kata Ummu Saif.

Anak-anak kami pun jadi seronok dibuatnya.

“Susah tak bawa adik dalam perut? Cuba tanya Ummi?” saya bertanya kepada anak-anak.

“Ummi, susah tak bawa adik dalam perut?” tanya Saiful Islam kepada Ummi.

“Tentulah susah. Berat tahu! Boleh tambah 20kg!” kata Ummu Saif kepada anak kami.

Tentu sahaja susah. Tidak ada suatu tugas berat yang dipikul oleh seorang manusia seberat proses mengandung dan melahirkan anak. Hilang selera makan, muntah-muntah, demam, urat berpintal-pintal di kaki (varicose vein), tubuh bengkak air (water retention), sakit pinggang dan serba serbi jadi tidak kena.

Itulah realitinya sebuah kehamilan.

“Kenapa Abi tak mengandung? Abi kan kuat?” tanya Saiful Islam.

“Haha, budak ni! Abi mengandung juga, tapi tak ada baby!” saya bergurau.

Anak-anak kebingungan.

Benar sekali…


FIZIKAL, RASIONAL, EMOSIONAL

Jika difikirkan beban mengandung, bukankah lebih wajar Allah Subhanahu wa Ta’aala jadikan para suami yang mengandung. Mereka ada kekuatan fizikal. Mahu mengangkat tong gas di atas bahu kanan dan kiri pun tidak punya masalah. Sepatutnya kekuatan fizikal itu digunakan untuk memikul tugas yang berat ini… hamil dan seterusnya melahirkan anak.

Tetapi saya terkenang kepada kata-kata Imam al-Ghazzali, bahawa “lelaki diciptakan Allah 9 rasional 1 emosi dan perempuan diciptakan Allah 1 rasional 9 emosi”.

Ya, kekuatan wanita itu adalah pada emosinya. Tinggi EQ!

Emosi itulah kelayakan untuk seorang manusia hamil.

Emosi untuk sabar dengan berat dan payahnya 9 bulan mengandung. Emosi untuk membelai, memberi makan kepada kandungan seperti memberi makan kepada diri sendiri. Emosi yang kerana emosi itulah, alam bayi di dalam kandungan digelar ALAM RAHIM, iaitu ‘alam kasih sayang’.

Kasih sayang yang sulit untuk ditemui dalam jiwa lelaki, biar pun fizikalnya sasa dan mentalnya berkuasa.

Aduhai anak-anak, sesungguhnya engkau tidak lahir ke dunia ini, melainkan engkau pernah dipeluk kasih dan sayang seorang ‘ibu yang rahim’ di ALAM RAHIM.

TIBA-TIBA

“Abang, rasanya nak bersalin dah ni!” jerit Ummu Saif.

“Apa???” saya panik dan sesak nafas terkejut dengan jeritan itu. Tercungap-cungap tidak cukup nafas.

“Haa!!!”, aduhai…. rupa-rupanya saya bermimpi. Sudah nak masuk anak keempat, masih ada mimpi-mimpi sebegini lagi?

Peluh di dahi saya kesat.

Segera menoleh ke sisi, terlihat isteri yang tidurnya tidak lena melayan resah badan dengan sarat kandungan.

“Tidurlah sayang. Biar abang bancuhkan susu Imad itu,” saya bingkas bangun meraba gelap untuk melayan tangisan Imad yang terkejut oleh kejutan saya tadi.

Semoga Allah limpahkan seluas-luas cinta dan kasih-Nya buat bondaku dan bonda isteriku yang telah mengandung dan membesarkan kami dengan kasih sayang, semoga cinta dan kasih-Nya juga disiramkan ke hati dan jiwa isteriku, yang bermujahadah dalam cinta dan kasih kami, untuk mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak penyejuk mata.


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung keletihan demi kekeletihan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)” [Luqman 31: 14]

Selamat Hari Ibu

@ www.saifulislam.com

12 April 2009

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!


* Teringat pula masa program EMINENT 09 anjuran DPMT...saya adalah panel tunggal mahasiswi dalam membicarakan tajuk "MADU TIGA" (Pengajian, rumahtangga dan perjuangan)...syukran mujahidku yang sentiasa memberi semangat kepada diri ini untuk perjuangan Islam..! Alhamdulillah, syukrillah..



Ya Rabbi...

Alhamdulillah, setelah habis tempoh pentaklifan dalam PMRAM 2008, sedikit sebanyak telah banyak mengajar diri ini untuk berdikari. Maklumlah dulu ada sahabat-sahabat sekeliling, sama-sama bekerja demi untuk memastikan ahli PMRAM terus menerus berada dalam landasan-Nya.

Tengok entri-entri blogger sahabat dalam PMRAM sendiri kadang-kadang mengalir air mata. Sesungguhnya banyak yang kami dapat timba sepanjang berjuang dalam PMRAM. Pahit manis bersama, kalau nak dikira tangisan, banyak telah ditumpahkan. Moga-moga Allah istiqamahkan diri ini dan sahabat-sahabat semua. Insya Allah

Hari ini sudah dua hari demam dan selsema. Malam tadi, selepas usrah bersama Bait Muslim Tanta, terus kami ke Klinik Dr.Dhuha, yang terletak berhampiran dengan Hospital Abu Raayah. Alhamdulillah, setelah diperiksa, tak sangka dah 13 minggu anak mama berada di kantungnya. Cuma demam, selsema kadang kala menyukarkan pergerakanku. Nasib baik mujahidku sentiasa membakar semangat. Syukran!

Ya Allah, sembuhkanlah diri ini supaya dapatku beribadat kepada-Mu, memberi khidmat yang terbaik kepada mujahidku dan study dengan lebih baik.

Ya Rabbi, kurniakanlah kami anak-anak yang soleh dan solehah. Moga-moga mereka dapat menjadi setangkas Solahuddin Al-Ayubi dan sehebat Khaulah Al-Azwar demi perjuangan yang suci ini.

Ya Rabbi, jadikanlah kami hamba yang sentiasa istiqamah dalam saf perjuangan Islam ini...

Ya Allah, pimpinlah diri kami, janganlah biarkan kami keseorangan, Engkaulah tempat kami mengadu...

* Salam imtihan buat semua sahabat terutama adik beradik HEWI.